Home > Soalan Lazim

Soalan Sering Ditanya Mengenai PERTIWI Soup Kitchen

 

Apa itu “soup kitchen”?

“Soup kitchen” adalah sebuah tempat di mana makanan diberikan kepada orang miskin secara percuma. Ia terdapat di
banyak negara di dunia ini, biasanya terletak di kawasan-kawasan penduduk berpendapatan rendah, dah selalunya
dikendalikan oleh sukarelawan. Kewujudan “soup kitchen” bermula sejak Zaman Meleset lagi untuk memberi makan
kepada insan tanpa rumah dan berpendapatan rendah.

PERTIWI Soup Kitchen adalah perkhidmatan mengagihkan makanan di beberapa lokasi menggunakan kenderaan
Nissan Luton yang telah disumbangkan oleh Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur, dan sebuah kereta Toyota Hilux yang
telah disumbangkan oleh Bandar Raya Developments Berhad (BRDB).

Berapa kerapkah PERTIWI Soup Kitchen memberi khidmat kepada masyarakat?

Makanan asas berkhasiat yang siap dibungkus berserta air minum diagihkan 4 malam dalam seminggu di kawasan
bandaraya di mana terdapatnya kelompok-kelompok penerima (seperti Chow Kit, Kota Raya dan Masjid India).

Berapa ramaikah yang dapat dilayan melalui PERTIWI Soup Kitchen setiap malam?

Kami sekarang memberi makanan kepada antara 550-750 orang setiap malam.

Apakah jenis makanan yang disediakan?

Kami menyediakan makanan berkhasiat berharaga tidak lebih RM4.50 sebungkus mengandungi nasi, satu lauk
mengandungi protein (lauk ikan atau ayam), satu lauk sayur, dan pisang. Penyediaan makanan adalah secara
tempahan.

Bagaimana makanan ini diagihkan?

Makanan yang telah siap dibungkus dalam kertas minyak diagihkan oleh para sukarelawan. Minuman panas dan sejuk
diagihkan menggunakan cawan kertas.

Apa yang diharap akan dicapai oleh PERTIWI melalui khidmat ini?

Projek PERTIWI Soup Kitchen ini memberi khidmat kemanusiaan melalui bantuan makanan kepada golongan
gelandangan dan yang miskin tegar tanpa kira kaum atau agama. Melalui interaksi secara tetap dengan kelompok
masyarakat yang melarat di bandaraya kita ini, beberapa usaha tambahan juga diberikan untuk menolong mereka yang
bersedia dibantu untuk berdikari. Projek PERTIWI Healthcare Services pula membantu golongan gelandangan dan
miskin tegar dengan memberi bantuan pemeriksaan doktor serta ubat secara percuma untuk penyakit biasa.

Adakah logo ini melambangkan sesuatu?

Logo ini adalah daun sage berlatarbelakangkan warna ungu. Dalam bahasa Latin sage adalah salvia yang bermakna
“menyembuhkan”. Sage juga bermakna pendeta. Warna ungu melambangkan pencapaian kerohanian, pertimbangan
bijaksana dah ketenangan fikiran. Warna hijau melambangkan pengharapan, keamanan dan persekitaran. Bentuk
bujur adalah simbol limpah-ruah (seperti bentuk telur yang melambangkan kesuburan dan awal permulaan). Harapan
kami agar logo kami ini menjadi sumber inspirasi.

Bagaimanakah orang ramai boleh membantu usaha ini?

Ada 3 cara anda boleh membantu projek PERTIWI Soup Kitchen ini:

  1. Orang ramai atau korporat boleh menolong dengan menghulurkan derma untuk digunakan dalam penyediaan
    dan pengagihan makanan. Untuk menolong projek ini sila derma atas nama ‘PERTIWI’, Nombor Akuan RHB 2-
    14035-10201591. Semua derma mendapat pengecualian cukai mengikut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan
    1967.
  2. “Soup kitchen” menarik perhatian orang ramai kerana pengalaman yang diperolehi dengan memberi makanan
    kepada seorang yang lapar akan memberi ganjaran serta-merta. Seandainya anda boleh membantu secara
    tetap di masa lapang anda, walau sekali dalam sebulan, mungkin anda berminat untuk menjadi seorang
    sukarelawan.
  3. Anda juga boleh membantu dengan menghebahkan projek penting kemasyarakatan ini kepada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Munirah Abdul Hamid 012-2363639, atau emel kami di pertiwisoupkitchen@gmail.com, atau ikuti perkembangan projek PERTIWI Soup Kitchen di Facebook.