Home > Mengenai Kami > Imbas Kembali (1967 – 2007)

Dengan Suka dan Rela

 

Saya berusia 17 tahun sewaktu PERTIWI ditubuhkan sungguhpun mesyuarat demi mesyuarat di antara ahli pengasas telah bermula sejak saya berusia 16 tahun lagi. Kakak-kakak saya, Rahmah (Kak Mah) dan Zakiah (Kak Anum), adalah di antara wanita-wanita dalam kumpulan ini yang telah bekerja keras tanpa mengenal penat lelah ke arah merealisasikan objektif untuk menubuhkan sebuah organisasi untuk kebajikan wanita dan kanak-kanak.

Mengimbau kembali masa lalu, saya menyedari kini betapa mudanya mereka semua pada masa itu. Pada zaman sekarang, wanita yang seusia mereka pada ketika itu sering memberikan alasan terlalu sibuk membahagikan masa antara karier dan keluarga untuk terlibat dengan sebarang kerja kebajikan. Namun, para pengasas PERTIWI hanya berusia sekitar lewat 20an dan awal 30an sewaktu mereka menyedari betapa perlunya untuk mewujudkan persatuan yang seumpama itu dan mereka terus bertindak menubuhkannya. Memang mereka wanita hebat! Ia jelas memberikan kesan mendalam ke atas diri saya yang pada masa itu merupakan seorang remaja yang penuh bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk mencapai kejayaan namun kurang berdisiplin dalam mematuhi peraturan yang asas.

Dari semasa ke semasa, kakak-kakak saya akan mengheret saya untuk menolong mereka dalam kerja-kerja amal PERTIWI seperti bazar, konsert amal, golf amal dan apa-apa saja yang boleh mereka libatkan saya untuk membantu. Saya memang begitu seronok terlibat dengan aktiviti mereka untuk mengutip derma.

Kakak saya, Kak Anum, selalu ceria selaku ketua. Setiap sesuatu yang dilaksanakannya, diusahakan dengan penuh dedikasi dan keseronokan. Semua yang terlibat dalam aktiviti anjurannya pasti akan berasa seronok, bermula dari peringkat perancangan sehinggalah ke hari sebenar dan disudahi dengan jamuan makan malam yang menyeronokkan sebagai tanda terima kasih kepada semua. Minat serta semangatnya meresapi dan berjangkit kepada kami semua yang berada di sekelilingnya sehingga mewujudkan suasana keterujaan dan kepestaan. Di bawah seliaan Kak Anum, kerja sukarela benar-benar menjadi sesuatu yang dikerjakan dengan “suka” dan “rela”.

Saya masih ingat lagi sewaktu membuat persediaan untuk Konsert Bintang Pujaan pada tahun 1970. Itu mungkin antara penglibatan awal yang besar bagi saya untuk PERTIWI. Kami terpaksa menjual tiket untuk persembahan di Stadium Negara. Bayangkan saja bagaimana remaja seperti kami disuruh pergi ke pelbagai tempat seperti Pangkalan Tentera Udara, Mindef dan sebagainya. Sudah tentu usaha kami mendapat sambutan hangat di kalangan angkatan tentera. Kami dapat menjual tiket dengan mudah sekali.

Kami juga turut membantu menyediakan prop. Sewaktu membantu pereka pentas, Encik Daud Omar, saya masih ingat lagi bagaimana saya merenyukkan kerajang aluminium untuk dijadikan pentas dan tirai latar dan tertanya-tanya bagaimanakah kesannya nanti. Ia benar-benar hebat dan sangat futuristik, dan kelihatan seperti di angkasa. Barisan penyanyi memukau penonton dan acara malam itu merupakan satu kejayaan yang besar. Sehingga hari ini, saya pun tidak tahu berapakah jumlah yang sebenarnya dapat dikumpulkan daripada konsert amal tersebut.

Kami turut mengadakan bazar amal dari semasa ke semasa. Ia adalah saat yang amat menyeronokkan apatah lagi apabila ahli keluarga pun turut serta. Saya masih ingat lagi sewaktu abang saya, Farik, mengambil bahagian dalam pertandingan memasak nasi goreng. Saya masih ingat juga bagaimana ahli-ahli PERTIWI sibuk menguruskan gerai masing-masing yang menjual pelbagai juadah istimewa yang enak-enak belaka dan dihasilkan mengikut resipi keluarga masing-masing.

Pernah sekali diadakan Big Walk di Petaling Jaya Old Town yang melibatkan golongan VIP, keluarga, rakan-rakan dan penyokong. Saya tak dapat lupakan arwah Mak Cik Pak Deris dari Kawasan Melayu yang turut mengambil bahagian. Kami benar-benar terhibur dengan pelbagai telatah lucu arwah yang sudah tentunya berpunca daripada siapa lagi kalau bukan Kak Anum. Saya juga pernah mengambil bahagian dalam sebuah pertunjukan fesyen yang diadakan bersempena dengan salah satu bazar amal PERTIWI dan kemudiannya, sekeping gambar saya yang besar telah disiarkan di akhbar yang membuat saya benar-benar berasa malu. Entah pada tahun berapakah masa itu agaknya?

Pengalaman Kelinik Sehari kami memang menyeronokkan namun ia juga sangat memenatkan. Pemeriksaan perubatan yang sering kita pandang enteng selama ini sebaliknya merupakan satu hadiah istimewa untuk mereka yang tidak ada cara untuk mendapatkannya, sama ada disebabkan kekurangan perkhidmatan atau kekurangan inisiatif. Tetapi apabila kami berada di kampung mereka bersama doktor dan jururawat sukarela, mereka datang juga untuk menemui kami. Kaum wanita misalnya, ingin mendapatkan bantuan untuk pelbagai masalah kecil tetapi menjengkelkan seperti jangkitan jamur dan gatal-gatal yang berpunca daripada ketidakpatuhan kepada asas-asas penjagaan kesihatan. Ada juga beberapa kes masalah kesihatan yang serius tetapi kebanyakannya adalah kes yang dapat dirawat oleh doktor Kelinik Sehari kami. Kami sentiasa dialu-alukan oleh penduduk mana-mana kampung yang kami lawati sehingga mewujudkan satu suasana yang meriah. Kami dijamu sehingga sengkak.

Saya masih ingat lagi Pertandingan Golf Amal PERTIWI yang diadakan pada masa itu. Idea bagi pertandingan golf amal tersebut asalnya dicadangkan oleh abang ipar saya, arwah Dato’ Jamaluddin Abu Bakar, suami Kak Mah, pada tahun 1968. Sebelum PERTIWI, belum ada mana-mana organisasi amal yang terfikir untuk membuat acara sebegini yang sangat digemari oleh kaum lelaki untuk mengumpul dana dan untuk itu, saya benar-benar terhutang budi kepada arwah abang ipar saya. Kini, pertandingan golf amal sering diadakan meskipun PERTIWI sudah tidak lagi sebegitu aktif. Apa tidaknya, pertandingan yang diadakan pada hari ini menawarkan hadiah yang hebat-hebat dan menampilkan pemain golf ternama, yang tidaklah berapa cocok jika hendak digandingkan dengan organisasi yang bernada sederhana seperti PERTIWI.

Banyak lagi kenangan saya, namun seperti kebanyakan ahli-ahli PERTIWI yang lain, saya menjalani kehidupan yang sangat aktif. Saya mempunyai tiga orang cucu yang sangat saya kasihi tapi amat kurang masa yang saya berikan kepada mereka kerana saya juga perlu menguruskan lima buah syarikat. Ani, kerani PERTIWI yang setia selama ini, telah mendesak saya agar menghasilkan nota ringkas ini. Walaupun saya telah memberitahunya yang saya sangat sibuk dan tiada masa untuk menulis, dia tetap tidak mahu berganjak.

Teringat pula saya kepada ahli-ahli pengasas PERTIWI 40 tahun dahulu yang boleh mencari masa untuk menubuhkan PERTIWI. Ini membuat saya berasa malu kerana asyik memberi alasan terlalu sibuk dengan tugas. Maka inilah dia … coretan kenangan saya bersama PERTIWI sejak 40 tahun yang lalu. Semoga organisasi kita yang tercinta ini akan terus hidup subur dalam semangat kesukarelaan.

 

Munirah Abdul Hamid
11 Mei 2007