Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) merupakan sebuah organisasi kesukarelaan yang berorientasikan projek, beramal-bakti ke arah menangani hal-hal kebajikan dan keperluan kaum wanita dan kanak-kanak.
Sejak ditubuhkan pada 22 September 1967, PERTIWI telah memainkan peranan penting dalam usaha untuk menangani isu-isu gender dan mengangkat hak-hak wanita di Malaysia. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan, sosial dan keagamaan telah dilaksanakan, dengan tujuan untuk mendidik, memupuk dan memperkasakan wanita, tetapi pada waktu yang sama, mengekalkan peranan tradisi kekeluargaan.
Lima matlamat penubuhannya telah memberi ruang dan peluang untuk PERTIWI bergerak menangani cabaran dan memainkan peranan penting dalam sumbangan bakti kepada masyarakat umum. Lima matlamat tersebut adalah seperti yang berikut:
- Berusaha ke arah mencapai keadilan sosial dan ekonomi untuk wanita;
- Menyebarkan ilmu pengetahuan bagi kemajuan wanita dengan cara perbincangan, penulisan, penterjemahan dan penyiaran;
- Berusaha meninggikan taraf pelajaran dan pendidikan bagi wanita dan kanak-kanak;
- Berusaha supaya mana-mana undang-undang berkaitan dengan hak-hak wanita dilaksanakan dengan adil; dan
- Menyokong dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan wanita lain yang bertujuan sama.